Teknologi
SILICON VALLEY USA & CHINA: MAMPUKAH CYBERJAYA MENGATASI KEMEGAHAN SILICON VALLEY ANTARABANGSA?
Kepesatan teknologi dan kemajuan infrastruktur seringkali menjadi kayu ukur kejayaan sesebuah negara itu. Landskap ekonomi juga menjadi faktor utama kepada kepesatan teknologi ini.
Silicon Valley, San Francisco, Amerika Syarikat.
Hab teknologi Amerika Syarikat yang bertempat di San Francisco atau lebih dikenali sebagai Silicon Valley menjadi tumpuan bagi semua penggemar teknologi daripada serata dunia termasuklah Malaysia. Istilah Silicon Valley mula-mula diperkenalkan oleh seorang wartawan daripada Amerika Syarikat iaitu Don Hoefler pada tahun 1971. Semenjak itu, istilah tersebut digunakan bagi merujuk kepada hab teknologi dan inovasi.
Silicon Valley yang menempatkan pelbagai jenama serta syarikat multinasional, multimillionaire berteknologi tinggi termasuklah Google, Apple, Tesla, Facebook, Chevron, HP dan banyak lagi dikatakan menjadi pangkalan data yang ada di serata dunia. Dengan nilai hartanah hampir USD 3 trilion, Silicon Valley telah berjaya menarik peluang pelaburan kepada America Syarikat sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di Amerika Syarikat. Silicon Valley telah menerima 41% daripada semua pelaburan teroka A.S. pada tahun 2011, dan 46% pada tahun 2012 dan kadar pengangguran di rantau ini adalah 9.4% pada bulan Januari 2009 dan telah menurun ke paras terendah 2.7% pada bulan Ogos 2019 dengan kebanyakan tenaga kerja berkemahiran tinggi menurut laporan Labour Market Info California.
Tidak hanya menempatkan syarikat multinasional berteknologi tinggi, Silicon Valley turut menempatkan pusat pertahanan dan inovasi bagi Amerika Syarikat antaranya adalah NASA, Moffett Federal Airfield, Onizuka Air Force Station (yang secara rasmi telah ditutup pada tahun 2010) dan SLAC National Accelerator Laboratory.
Shenzhen, China.
Model yang hampir serupa turut diguna pakai di seluruh dunia termasuklah China. Shenzhen, China turut menerima julukan Silicon Valley of China dek kerana kepesatan dan kemajuan teknologi tinggi. Bandar yang dipenuhi dengan lampu LED, teknologi robotik serta ramai anak muda yang mencari peluang untuk berinovasi turut berada di Shenzhen ini. Zon pembangunan perindustrian berteknologi tinggi Shenzhen ditubuhkan pada bulan September 1996, pada asalnya hanya menempati 11.5 km persegi tanah.
China sememangnya terkenal dengan produk “copy ori” nya. Tetapi, bermula daripada itu, mereka mula berinovasi dengan teknologi yang lebih mesra kepada pengguna setempat dan seterusnya ke seluruh dunia. MIT Technology Review melaporkan bahawa dengan bermulanya dengan proses yang tampaknya remeh, relatif mudah dibuat namum mereka lahir dari proses pengembangan dan pengedaran produk yang disebut juga sebagai shanzhai (山寨) yang membawa maksud gunung persembunyian.
Terkenal dengan pembuatan barangan tiruan yang cukup pantas, kebiasaannya produk yang memerlukan 12 hingga 18 bulan untuk dihasilkan oleh syarikat barat ke pasaran mungkin hanya memerlukan empat hingga enam minggu dalam ekosistem shanzhai. Meskipun pada awalnya barangan yang dihasilkan ekosistem ini dikecam hebat kerana spesifikasi yang kelihatan murah dan kualiti yang tidak elok, namun idea dan inovasi mereka semakin berkembang daripada tahun ke tahun sehingga idea dual simkad yang mula-mula diperkenalkan ekosistem ini telah mula diperkenalkan dalam peranti Apple.
Namun, dengan kemunculan idea-idea baru, serta ideologi-ideologi daripada ikon terkemuka seperti Steve Jobs mula mendapat tempat di hati anak-anak muda di China. Mula mengamalkan ekosistem dan cara kerja yang baru memungkinkan idea-idea ini bertukar menjadi inovasi terkini bagi menggerakkan ekonomi China untuk cenderung kepada inovasi serta teknologi yang terkini dan tidak terikat kepada penghasilan barangan cetak rompak. Dengan usahasama anak tempatan serta syarikat-syarikat daripada luar, mereka mampu mengubah Shenzhen setaraf atau mungkin lebih baik daripada Silicon Valley. Syarikat reka bentuk perindustrian dan pusat reka bentuk bebas adalah bahagian terbaru daripada ekosistem ini yang memberikan perkhidmatan kepada perniagaan yang lebih besar turut merangkumi inkubator, ruang kerja, dan makmal fab seperti Makmal Inovasi Terbuka Shenzhen (SZOIL).
Petunjuk terbaik di sini ialah peningkatan pelaburan mereka dalam R&D (+8% setiap tahun), membelanjakan lebih daripada 7.3 bilion dolar AS pada tahun 2017. Sistem kewangan yang teratur juga merupakan faktor terpenting bagi ekosistem ini. Syarikat-syarikat besar seperti Xiaomi dan Tencent turut melabur kepada ekosistem ini seterusnya membantu start up untuk bergerak kehadapan. Mereka turut dibantu dengan penyedia platform pembayaran dalam talian seperti Alipay dan WeChat Pay sebagai alternatif pengurusan jualan dan transaksi.
Sehingga kini, Shenzhen dan warganya masih berinovasi untuk mencipta sesuatu yang baru.
Bagaimana pula dengan Cyberjaya, Malaysia?
Perasmian pecah tanah Cyberjaya oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 17 Mei 1997, telah menandakan bermulanya era baru tidak hanya bagi Cyberjaya tetapi kepada Malaysia secara keseluruhan. Keluasan tanah 6,960 ekar yang belum diusahakan dan bekas tapak ladang kelapa sawit, ianya menjadi asas kepada bandar siber pintar pertama di Malaysia.
Bermula daripada saat itu, Cyberjaya telah menjadi hab kepada semua kegiatan teknologi dan inovasi termasuklah penubuhan pelbagai agensi dan pusat pendidikan yang bertaraf antarabangsa seperti Lim Kok Wing University, MMU, MaGIC, Malaysia Animation Creative Content Centre (MAC3) dan bermacam-macam lagi. Studio Animonsta yang telah menghasilkan siri animasi Boboboi turut bertempat di Cyberjaya.
Meskipun suatu ketika dahulu kita mengimpikan Cyberjaya untuk menjadi pusat kepada perkembangan teknologi terkini, namun, tidak banyak inovasi terbaru mahupun ciptaan yang kita dapat lihat daripada hab teknologi ini. Mengapa ini terjadi? Dan bagaimana ini terjadi?
Mengambil kira faktor masa, kita hanya terlewat 1 tahun daripada penubuhan Shenzhen sebagai hab inovasi dan industri berteknologi tinggi. Tetapi, China telah mampu mencabar pemilik asal julukan Silicon Valley iaitu Amerika Syarikat.
Adakah Malaysia perlu menunggu lagi?
Teknologi
Facebook bertukar nama kepada META
Kredit Foto: Meta Malaysia
Belia
Usahawan muda raih kejayaan melalui teknologi baru
Alexander (dua kanan) menerima penghargaan daripada Pengerusi Dewan Perniagaan Digital Malaysia (MDCC), Joshua Sew (dua kiri) pada Majlis Anugerah Perniagaan Kecemerlangan Malaysia 2021 di Hotel Marriot, Putrajaya.
Kredit Foto: Faisol Mustafa
Usahawan muda kelahiran Malaysia ini berjaya membuktikan bahawa mereka tidak ketandusan idea sebaliknya terus bersemangat menempuh situasi ekonomi yang kian mencabar ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau kagum dengan keupayaan usahawan muda yang mengguna pakai teknologi dan inovasi dalam perniagaan masing-masing.
Beliau berkata, usahawan tempatan juga membuktikan bahawa mereka sebenarnya boleh malah, mampu untuk memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Kemunculan usahawan seperti mereka mengukuhkan kepercayaan kerajaan terhadap kemampuan belia sebagai harapan negara.
“Keupayaan mereka menyesuaikan diri dalam teknologi baharu membolehkan mereka lebih inovatif dan kreatif dalam meneroka dan memperkenalkan peluang baharu dalam ekonomi dan industri,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MEBA) 2021.
Sebanyak 42 kategori anugerah disampaikan kepada usahawan tempatan yang terbabit dalam pelbagai bidang dan sektor ekonomi.
Tambahnya lagi, usahawan muda juga disaran mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu kerana ia penting bagi menjana pertumbuhan negara serta membuka peluang diperingkat antarabangsa.
Sumber: Kosmo Online
Teknologi
Microsoft akan melabur US$1bil di Malaysia untuk menubuhkan pusat data
Foto: Bernama
Microsoft Corporation akan melabur AS$1bil (RM4.12bil) dalam tempoh lima tahun akan datang di Malaysia sebagai sebahagian daripada program perkongsian baharu dengan agensi kerajaan dan syarikat tempatan, kata perdana menteri Malaysia pada 19 April.
Pengumuman mengenai pelaburan terbesar teknologi AS di Malaysia datang selepas Malaysia memberi kelulusan bersyarat untuk Microsoft, Google, Amazon dan firma telekomunikasi negera, Telekom Malaysia untuk membina dan menguruskan pusat data berskala hiper serta menyediakan perkhidmatan ‘cloud’.
Ia juga datang selepas negara itu menyaksikan pelaburan langsung asing (FDI) menjunam sebanyak 68% tahun lepas, penurunan terbesar di Asia Tenggara.
Malaysia telah mempertahankan dirinya sebagai destinasi pelaburan, di mana menteri kewangan baru-baru ini mengatakan ia sedang melihat insentif untuk membantu menarik lebih banyak FDI.
Pelaburan daripada penyediaan perkhidmatan ‘cloud’ ini akan berjumlah di antara RM12bil hingga ke RM15bil dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif Bersama Malaysia, Microsoft akan menubuhkan ‘datacentre region’ pertamanya di Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai pusat data, untuk menguruskan data dari pelbagai negara,” kata Muhyiddin Yassin
“Datacentre region ini akan menjadi ‘game-changer’ untuk Malaysia,” Naib Presiden Eksekutif Microsoft Jean-Philippe Courtois berkata dalam satu kenyataan, sambil menambah ia akan membolehkan kerajaan dan segala jenis perniagaan ‘transform’ operasi mereka.
Di bawah program itu, Microsoft juga akan membantu sehingga sejuta rakyat Malaysia dalam mendapatkan kemahiran digital menjelang akhir 2023.
Petikan ini telah dialih bahasa. Petikan asal The Star.
#MalaysiaBoleh!