Ketua Ekonomi Bank Dunia, Dr. Richard Record berkata, sebanyak 97.7 peratus hutang dalam denominasi ringgit dan ia seharusnya menyediakan risiko yang terhad kepada kerajaan apabila didedahkan kepada pertukaran asing.

Kredit: World Bank Group

Katanya, hampir 70 peratus daripada hutang itu adalah jangka sederhana dengan tempoh matang melebihi tiga tahun jus­teru terdapat risiko terhad mengikut terma ‘rollover’ atau pulang ganti.

“Kerajaan baharu perlu memastikan hutang ditangani de­ngan telus, waspada serta berhati-hati selain melaksanakan pengurusan berhemat,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia Edisi Ke-18 Bank Dunia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Mara Warwick.

Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia mengunjurkan ekonomi Malaysia dijangka kekal berkembang pada paras 5.4 peratus pada 2018 disokong asas makroekonomi dan permintaan eksport yang kukuh.

Malaysia masih mengekalkan pertumbuhan yang kukuh dan mampu memberikan asas mampan untuk kerajaan terus melaksanakan agendanya.

Sementara itu, Warwick berkata, Bank Dunia masih menganggap Malaysia sebagai ‘success story’ atau antara negara yang berjaya meskipun hutang negara mencecah RM1 trilion.

“Kami melihat Malaysia mempunyai ekonomi yang kukuh dan bergerak ke arah pendapatan tinggi.

“Dalam laporan ini, kami menekankan kepentingan me­lihat kepada kualiti pertumbuhan secara keseluruhan dan bagaimana setiap rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kejayaan ekonomi yang telah dicapai,” katanya.