DALAM era masyarakat yang sentiasa mengejar pembangunan untuk merealisasikan impian ke arah kehidupan lebih moden, internet telah mencetuskan gelombang perubahan dalam proses sosialisasi dan kehidupan masyarakat.
Perubahan ini termasuklah perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat yang memberikan kesan dan menjadi cabaran terhadap pemikiran, ideologi dan budaya tanpa batasan sempadan serta kawalan.
Mendepani cabaran itu, Google Malaysia baru-baru ini telah bekerjasama dengan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KTAR) dalam menganjurkan bengkel interaktif Google Cafe: Cool Tools 4 Skool untuk berkongsi “hack” kehidupan melalui penggunaan telefon pintar.
Ketua Komunikasi dan Hubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof berkata, bengkel interaktif seumpama itu dapat meningkatkan hubungan sosialisasi pelajar agar menjadi lebih menarik di samping membantu mengekalkan prestasi akademik di universiti.
“Bengkel ini membantu pelajar dalam mencari sumber rujukan dan tugasan mata pelajaran yang bersesuaian di internet selain menjelaskan peranan Google Search yang membantu mengklasifikasikan definisi maklumat serta Google Scholars yang menyediakan akses bahan-bahan bacaan akademik merentasi pelbagai format penerbitan dan disiplin mata pelajaran.
“Google Books pula membantu pelajar universiti mengenal pasti buku dan topik perbincangan dalam bentuk digital,”katanya.
Zeffri berkata, bengkel Cool Tools 4 Skool itu turut membantu pelajar mengimbangi tarikh akhir tugasan, kuiz, ujian pertengahan semester dan peperiksaan.
“Jika mereka tidak menguruskan masa dengan sempurna, mereka berkemungkinan besar terlepas kelas atau peristiwa penting lain. Justeru melalui bengkel ini pelajar didedahkan dengan program Google Cafe iaitu bagaimana fungsi Google Calendar dan Google Maps membantu mereka dalam menguruskan masa dan maklumat penting bagi tugasan peperiksaan selain membantu merancang perjalanan ke destinasi kajian,”katanya.
Sementara itu, Zeffri menjelaskan ramai pelajar mengalami kesukaran menulis dan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris namun dengan Google Translate pelajar dibantu menterjemah terma yang mereka tidak fahami dengan tepat.
Dalam bengkel itu juga, pelajar turut didedahkan Google Drive, Google Docs, Google Slides, Google Sheets dan Google Photos dalam menghasilkan dokumen dan gambar.
Dalam pada itu, Zeffri menambah, dalam bengkel tersebut pelajar turut terlibat dalam program kempen kesedaran dalam talian daripada peringkat asas yang melibatkan penyelidikan, perancangan, penciptaan kandungan dan juga pengurusan interaksi dalam talian.
“Fokus Google Cafe pula berusaha untuk menyumbang semula kepada masyarakat. Pada masa lalu, kami telah mengadakan Google Cafe untuk membantu pelbagai komuniti seperti warga emas, ibu bapa dan media.
“Saya percaya kami telah mendapat peluang untuk melihat kesan manfaat Google Cafe pada skala yang lebih besar yang membolehkan pelajar menghayati apa yang telah kami ajar pada hari ini dan berkongsi pengalaman tersebut bersama rangkaian mereka di internet,”katanya.