Bagi sesiapa yang berpeluang menetap, melancong atau bekerja ke negeri Sarawak pasti tidak akan melepaskan peluang untuk merasai masakan pucuk midin goreng belacan. Ianya suatu hidangan istimewa oleh penduduk tempatan dan pelancong asing kerana ianya sukar untuk ditemui di negeri lain. Pucuk midin ini dihidangkan semasa panas bersama nasi putih dan hidangan juadah makanan laut yang lain. Aroma juadah ini pasti akan membangkitkan selera sesiapa sahaja untuk menikmatinya.
Di Sarawak, ianya mudah didapati dijual di pasar basah di sekitar pasar Satok Kuching, Mukah, Marudi dan pekan kecil di negeri kenyalang itu. Selain di Sarawak, pucuk midin juga boleh ditemui di negeri Johor dan Selangor tetapi ianya amat sukar untuk ditemui hanya di pasar pasar tertentu sahaja kerana penanaman sayuran ini tidak dilakukan secara komersial di negeri semenanjung Malaysia. Malah pasti ada yang mengirimkan pesanan pembelian pucuk midin dan dibawa ke Semenanjung melalui penerbangan.
Namun kesegaran pucuk midin akan terjejas sedikit akibat penyimpanan yang tidak sempurna kerana pucuk midin boleh tahan dibawah suhu dingin (peti sejuk) selama 5 hingga 8 hari. bahagian pangkal sayur pucuk midin ini perlu dibasahkan sedikit dan dibalut menggunakan daun pisang bagi mengekalkan kesegaran sayuran ini.
Pelbagai khasiat kesihatan yang terkandung di dalam sayuran pucuk midin ini seperti Vitamin C, B2, karbohidrat, protein, serat, lemak dan pelbagai zat lagi. Selain dari digoreng, pucuk midin yang boleh dimakan selepas direbus sebagai ulam. Bagi 100 gram pucuk midin, ianya terkandung 4.8mg zat besi, kaya dengan mineral fosforus dan kalium serta dikatakan ianya boleh merawat penyakit rabun malam. Kandungan Vitamin A (beta karotin) boleh menguatkan penglihatan manusia dan boleh mengubati penyakit cirit birit.
ASAL USUL & CIRI- CIRI MORFOLOGI
Pucuk midin berasal dari keluarga Pteridophyte dan nama sainstifiknya adalah Stenochlaena palustris. Di Selangor dan Johor, ia juga dikenali sebagai pucuk paku merah dan tumbuh meliar di kawasan tanah rendah hutan sekunder dan hidup menumpang di pokok lain. Kawasan tanah berasid dan sinaran cahaya matahari yang tinggi menggalakan pertumbuhan pucuk midin ini dengan pantas. Ia dikategorikan sebagai tanaman semusim rizomatus dan epiphytic dimana akar tumbuhan ini memegang tanah dengan akar serabut.
Daun pucuk midin lembut dan berwarna hijau muda dengan kuantiti daun 2 hingga 6 helai daun yang berpegang pada batang bulat berwarna hijau muda. Ia akan menghasilkan pucuk baru dari pangkal tumbuhan pada setiap masa dalam tempoh yang singkat terutama pada musim panas. Pucuk muda berwarna hijau sangat lembut dan bergulung. Pelepah berdaun kecil berspora tidak dimakan kerana ianya rasa pahit dan tidak sedap.
PENANAMAN PUCUK MIDIN
Pucuk Midin boleh ditanam di pelbagai jenis tanah terutama di tanah gambut (mempunyai kelembapan yang tinggi dan mempunyai sistem pengaliran air yang baik. Kandungan organik yang tinggi dalam tanah menyebabkan tumbuhan liar ini hidup dengan subur dan baik. Kawasan tanah tersebut perlu dibajak dan digembur supaya kandungan mineral di dalam tanah dapat dipergunakan. Pengapuran dilakukan semasa proses pembajakan dengan menabur kapur di dalam tanah. Baja organik tahi ayam pada kadar 2 hingga 5 tan sehektar digaul pada tanah sebelum dan selepas penanaman bagi meningkatkan kesuburan tanah.
Artikel ini dipetik daripada : MyAgri.com.my