Rakyat bersatu menentang kemelut buang wabak Covid-19

Sumber: Bernama

UTHM hasilkan kotak intubasi dan pelindung muka 3D.

Sumber: Facebook UTHM

Kakitangan dan penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor mencipta pelindung muka tiga dimensi (3D) bagi membantu petugas barisan hadapan COVID-19.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) UTHM Prof Dr Shahruddin Mahzan berkata, pihaknya sudah menghasilkan kira-kira 500 pelindung muka sejak inisiatif itu dimulakan 23 Mac lalu.

“Sehingga kini, 30 unit sudah diedarkan kepada petugas di kampus manakala 200 unit diedarkan kepada Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang. Sebanyak 300 unit lagi akan diagihkan kepada Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

Selepas proses komponen utama siap dibuat di setiap stesen, komponen itu dihantar ke stesen akhir di bawah kendalian Dr Mustaffa bagi pemasangan, pembasmian kuman dan pembungkusan.

“Kami mewakili universiti menyeru saintis, jurutera dan juruteknologi di seluruh negara untuk turut sama tampil membantu dan menyokong petugas barisan hadapan negara yang bertungkus lumus mengekang Covid-19,” katanya.

Sukarelawan UTHM turut menghasilkan ‘boot cover’ untuk petugas kesihatan

Sumber: Facebook UTHM

Pasukan sukarelawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menghasilkan rekaan ‘boot cover’ yang berfungsi mengurangkan risiko kaki terdedah kepada virus yang boleh dijangkiti melalui darah, cecair atau udara.

Menurut ketua projek itu, Profesor Madya Dr Kamarul-Azhar Kamarudin, petugas kesihatan perlu memakai pelbagai jenis peralatan perlindungan diri (PPE) sebagai perisai kepada mereka untuk melindungi diri daripada terkena jangkitan.

Jelas beliau, rekaan ‘boot cover’ yang dihasilkan oleh Pasukan Solusi Jahitan UTHM itu dibuat dengan menggunakan material plastik telah menarik perhatian pihak Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Tambah beliau, PPE tersebut dihasilkan oleh material yang mudah didapati dan penghasilannya ringkas dan amat praktikal untuk digunakan.

“Sebanyak 50 pasang ‘boot cover’ berjaya dihasilkan dalam masa empat hari sahaja.

“Pasukan kami berharap usaha sebegini dapat memberi solusi tambahan kepada petugas kesihatan dalam meningkatkan lagi tahap perlindungan diri mereka,” ujarnya.

Kejayaan projek solusi teknikal terdahulu seperti penghasilan kotak intubasi dan pelindung muka menjadi pemangkin semangat kepada pasukan sukarelawan universiti itu untuk terus menyumbang idea dan tenaga bagi membantu memerangi penularan Covid-19.

Sumber: Sinar Harian

PKB hasilkan ‘Face Shield DIY’

Sumber : Facebook PKB

POLITEKNIK Kota Bharu (PKB) menghasilkan 630 unit pelindung muka buatan sendiri dan diagihkan kepada petugas barisan hadapan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Penyerahan dibuat semalam oleh Pengarah PKB, Kamaludin Daud kepada Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Peralatan yang dihasilkan dari plastik menggunakan pencetak tiga dimensi (3D) dan dicetuskan oleh dua kakitangan PKB iaitu Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Zuhairy Zahari dan seorang pensyarah, Ishamzuri Abdullah.

Kamaludin berkata, penghasilan semua pelindung muka itu disiapkan dalam tempoh tiga hari dengan bantuan 61 penuntutnya yang berada di kampus itu berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Keseluruhan kos dianggarkan lebih RM3,000 dan bagi kami, ia tidak seberapa jika dibanding dengan jasa petugas barisan hadapan terutama yang bertugas di hospital dalam usaha merawat mangsa Covid-19.

“Inisiatif ini juga dibuat sebagai sumbangan kecil kami untuk sama-sama terbabit secara tidak langsung dalam mengekang wabak ini dari terus menular,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sumber: Harian Metro

Banduan Penjara Penor jahit PPE untuk ‘frontliners’ COVID-19

Sumber: Bernama

BENGKEL jahitan Penjara Penor di Kuantan, hanya ‘mengendalikan’ tempahan paling penting buat masa ini, iaitu peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit Covid-19.

Seramai 18 banduan yang ditempatkan di bengkel itu akan bertungkus-lumus mengukur, memotong dan menjahit PPE yang diperbuat daripada material khas berwarna biru.

Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hasan Hussain berkata, mereka menerima 2,000 meter material berkenaan bagi menghasilkan PPE yang memerlukan lima meter bagi sepasang PPE dari hujung kepala ke hujung kaki.

“Bengkel kami mula menjahit PPE Jumaat lalu, dan setiap hari kami boleh menghasilkan lebih 20 pasang PPE yang akan terus dihantar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diagihkan kepada Jabatan Kesihatan negeri.

Sementara itu, pegawai selia bengkel jahitan Penjara Penor Sarjan Muhd Mulyadi Abd Ghani berkata, banduan yang terbabit tidak mengambil masa lama untuk memahami kaedah menjahit PPE kerana sudah mahir mengendalikan mesin jahit kerana sering menerima tempahan pakaian seragam.

“Untuk melancarkan tugas, kami wujudkan tiga stesen khas yang terdiri daripada membahagikan material, memotong dan menjahit. PPE yang siap juga perlu melalui kawalan kualiti oleh kakitangan penjara.

“Proses yang paling renyah untuk dilakukan ialah memasukkan getah yang bertujuan mengetatkan bahagian pergelangan tangan, dagu topeng muka dan pelindung kasut,” katanya kepada Bernama.

1,000 sukarelawan Mercy Malaysia kini di lapangan

Hampir 1,000 sukarelawan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) kini berada di seluruh negara, membantu pengendalian kes COVID-19.

Pengurus Besar Operasi Program MERCY Malaysia, Said Alhudzari Ibrahim, berkata daripada jumlah itu, kira-kira 200 sukarelawan adalah doktor dan jururawat daripada sektor swasta, institusi bukan KKM dan pesara.

Katanya, kumpulan ini bertanggungjawab membantu barisan hadapan KKM di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat serta Krisis Kebangsaan (CPRC) dan pejabat serta klinik kesihatan.

“Sukarelawan kita membantu tugas seperti pengambilan sampel daripada pesakit, terutama di kawasan zon merah, yang sememangnya memerlukan petugas kesihatan tambahan seperti di Kluang.

Katanya, sehingga 6 April lalu, MERCY Malaysia menerima lebih 79,000 topeng muka, 4,800 PPE, 117,000 sarung tangan dan 16,000 kit kebersihan diri.

“Melalui sumbangan tunai yang diterima, kita membeli barangan keperluan lain seperti mesin jahit dan kotak intubasi.

“Kita juga mengedarkan makanan kepada lebih 12,000 orang, selain menyediakan lebih 200 perkhidmatan sokongan psikososial,” katanya.

Walaupun semuanya berbeza latar belakang tetapi tetap terus berjuang bersama membantu petugas barisan hadapan memerangi wabak COVID-19.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Terima kasih rakyat Malaysia di atas usaha anda dalam memerangi wabak ini!

#KitaJagaKita StayAtHome #MalaysiaBoleh

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version