Lee Chong Wei rangkul Terbuka Malaysia kali ke-12

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei mengakui puas dengan kejayaan merangkul gelaran ke-12 Terbuka Malaysia – rekod yang sangat mustahil untuk dipecahkan oleh mana-mana pemain dunia lain termasuk pemain negara.

Chong Wei yang bakal menjangkau usia 36 tahun Oktober depan membuktikan usia hanyalah angka apabila menumbangkan pemain Jepun, Kento Momota yang jauh lebih muda dengan kemenangan 21-17, 23-21 dalam aksi final di Arena Axiata Bukit Jalil, hari ini.

“Memang puas dengan kejayaan ini kerana bukan mudah mahu menang gelaran Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali apatah lagi beraksi di tempat sendiri,” kata Chong Wei.

“Tekanan memang cukup tinggi kali ini kerana saya seorang saja perseorangan lelaki Malaysia yang layak beraksi dalam kejohanan ini selain semua pemain terbaik dunia menyertainya termasuk pemain muda yang sedang meningkat naik.

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bergambar bersama dua anaknya selepas muncul juara Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 di Arena Axiata hari ini. – Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

 

“Hari ini pula saya berdepan dengan Momota yang tampil dengan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan (sejak Mac) dan saya tewas di tangannya pada Kejohanan Badmiton Asia dua bulan lalu. Ini memang perlawanan yang sukar tetapi saya kekal fokus dan tidak berputus asa dengan harapan dapat merealisasikan impian saya, akhirnya saya berjaya.”

Ditanya sama ada dia merasakan ada pemain lain mampu mengatasi rekodnya kemenangannya itu, Chong Wei berkata: “Sebenarnya ini adalah cabaran untuk diri saya sendiri dan untuk kelal bersemangat. Saya percaya kemenangan ini memberi motivasi kepada saya untuk menghadapi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia tahun ini.

“Secara peribadi saya berharap akan ada pemain yang mampu mengatasi rekod saya tetapi ia bukan mudah. Saya menang 12 kali di sini dan 14 kali masuk final, ini bukan kejohanan tempatan tetapi kejohanan antarabangsa, jadi ia bukan mudah.”

Sementara itu, Momota yang berusia 23 tahun mengakui kagum dengan tahap prestasi yang ditunjukkan Chong Wei apabila bermain tidak seperti pemain sudah berusia 36 tahun.

“Chong Wei bermain dengan sangat baik dan laju terutama permainannya dijaring. Ia perlawanan yang sukar, pukulannya sangat laju dan ia menyukarkan saya.

“Saya percaya Chong Wei akan terus mendominasi badminton dunia untuk tempoh beberapa tahun lagi dan saya berharap dapat menjadi sepertinya,” kata Momota.

Artikel Asal: Berita Harian

Kredit Gambar: The Star Online

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version