Menterinya, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata KBS akan membincangkan bagaimana kedua-dua pihak boleh bekerjasama untuk memastikan sukan tempur itu dapat dibangunkan di Malaysia.

Kredit: GMANetwork

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Senator Filipina itu kerana sudi menyumbangkan peralatan digunakannya semasa latihan untuk ‘Pertarungan Juara-juara’ yang berlangsung di Bukit Jalil semalam kepada Malaysia.

“Apabila saya jumpa beliau pada minggu lepas, beliau kata selepas perlawanan itu beliau akan tinggalkan gelanggang dan infrastruktur untuk digunakan oleh rakyat Malaysia. Kami akan bincangkan apa yang akan dilakukan dengan peralatan itu,” katanya ketika ditemui semasa program taya­ngan awam perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di Dataran Merdeka malam tadi.

Pada pagi semalam, Syed Saddiq bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, hadir menyaksikan pertarungan tali pinggang welterweight WBA di antara Pacquiao dan juara bertahan Lucas Matthysse dari Argentina.

Petinju berusia 39 tahun itu yang dikenali sebagai ‘Pac Man’ merampas kejuaraan selepas menewaskan Matthysse menerusi kiraan tumbangan knockout (TKO) pada pusingan ketujuh di hadapan kira-kira 14,000 penonton. – BERNAMA