Bagaimana pemulihan negara melalui Malaysia baharu

Pilihan raya umum ke-14 menyaksikan rakyat Malaysia menggembleng tenaga dalam usaha “menyelamatkan Malaysia”. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru ini menjanjikan pentadbiran yang lebih telus dan bebas rasuah.

Badan penguatkuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara diberi kepercayaan dan kebebasan untuk bertindak ke atas mereka yang didakwa melakukan penyelewengan di dalam kerajaan lampau.

Ini menunjukkan terdapat kemahuan politik dari pihak kerajaan hari ini untuk memastikan negara kita bebas rasuah di era Malaysia Baharu.

Sejak 9 Mei, negara mengalami kejatuhan nilai ringgit dari RM3.95 ke RM4.06 berbanding AS$1, bursa saham merudum dari 1,847 mata ke 1,763. Jabatan Perangkaan meramalkan kadar pertumbuhan ekonomi akan perlahan dalam tempoh 6 bulan akan datang dan Ideas pula memberi amaran sektor hartanah mengalami gelembung yang bakal meletus.

Selain itu, kita difahamkan hutang negara sudah mencecah lebih RM1 trilion dan kerajaan akan melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada September 2018.

Rakyat dan pihak pelabur sedang mengikuti dengan teliti dasar ekonomi yang bakal dibentangkan oleh kerajaan bagi menempuhi cabaran di atas. Bukan itu sahaja, dasar baru ini juga perlu membina semula ekonomi negara ke arah mencapai status negara maju dalam beberapa tahun lagi.

Jika kita lihat proses yang diambil bagi memulihkan sesebuah syarikat yang bermasalah, terdapat 3 fasa yang perlu dilalui. Pertama adalah penjimatan, ke-2 penstabilan dan ke-3 penambahbaikan. Proses yang sama digunakan di peringkat nasional.

Apa yang kita saksikan sekarang ini adalah fasa pertama, iaitu penjimatan. Kerajaan sedang merunding kembali, menangguh atau menamatkan terus beberapa projek mega seperti projek Kereta api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Laluan Rel Pantai Timu (ECRL) dan Tun Razak Exchange (TRX).

Jumlah menteri dan timbalan menteri di kabinet PH juga dikurangkan kepada 55 orang berbanding 68 orang di bawah Barisan Nasional. Kerajaan juga menghentikan sejumlah 17,000 lantikan politik di bawah pemerintahan sebelum ini.

Dengan pengurangan kos tersebut, kerajaan akan mempunyai lebihan dana untuk membiayai perkara atau sektor yang dilihat lebih mustahak oleh kerajaan, di samping dapat mengurangkan beban hutang yang perlu ditanggung negara.

Fasa seterusnya adalah penstabilan, di mana kerajaan dilihat baru memulakan usaha mereka. Terdapat banyak perkara yang kerajaan sedang cuba stabilkan dari segi ekonomi. Indeks bursa saham sudah mula menampakkan kestabilan di paras 1,750 mata dan kejatuhan nilai ringgit mula terkawal pada lingkungan RM4 berbanding US$1. Kerajaan juga sudah melaksanakan kawalan ke atas harga minyak pada RM2.20 seliter untuk RON 95 dan tarif elektrik hingga akhir 2018.

Dari segi politik juga, dilihat Tun Dr Mahathir Mohamad secara aktif merapatkan saf antara parti dalam PH seperti DAP, Amanah, PPBM dan PKR, serta parti luar PH seperti Warisan, PBB dan juga PAS melalui perjumpaan rasmi dan tidak rasmi di pejabat beliau.
Ini bagi memastikan beliau sebagai perdana menteri mendapat sokongan secukupnya untuk menerajui kerajaan dan mampu menangani sebarang usaha undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Selain itu, pemimpin PH juga akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri melaksanakan tugas sebagai pentadbir dalam proses penstabilan ini.

Seterusnya adalah fasa ke-3 iaitu penambahbaikan. Setelah negara mula stabil, maka kerajaan akan mempunyai ruang untuk memulakan proses membina semula negara. Pada fasa ini mereka perlu membentangkan rancangan ekonomi di era Malaysia Baharu.

Bagi mengembalikan Malaysia ke landasan menuju ke arah negara maju, kita perlu mengembangkan sektor industri berat dan teknologi tinggi. Industri ini akan membuka peluang pekerjaan mahir dan berpendapatan tinggi selain mengaktifkan pemindahan teknologi ke dalam negara. Industri ini akan turut secara langsung merangsang sektor perkhidmatan seperti kewangan dan perundangan.

Sebagai contoh, Korea Selatan, baru sahaja ditakrifkan sebagai negara maju, adalah kerana sektor industri mereka yang sangat pesat seperti bidang automobil, komputer dan pembinaan kapal. Siapa tidak kenal dengan syarikat gergasi seperti Samsung, LG, Hyundai dan Kia?

Tidak hairanlah mengapa Tun Mahathir sangat beria-ria mahu membina semula projek kereta nasional dan menekankan pembangunan industri berat dan berteknologi tinggi!

Baru-baru ini, kita difahamkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedang meneliti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (NEM).

Hal ini kerana kerajaan perlu membentangkan hala tuju sosio-ekonomi Malaysia Baru. Apakah tindakan afirmatif akan diteruskan? Jika ya, bagaimanakah kita mampu memperhalusi sistem ini agar ia tidak disalah gunakan? Jika tidak, apakah rancangan kerajaan untuk mengawal keseimbangan sosio-ekonomi yang menjadi asas kepada keharmonian di antara kaum di negara ini?

Ketiga-tiga fasa ini akan negara kita lalui ke arah membentuk Malaysia Baru yang diidamkan. Sama-samalah kita menyumbang buah fikiran dan tenaga ke arah merealisasikan impian ini.

Azeem Abu Bakar ialah ahli pengasas Organisation for National Empowerment (ONE)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

 

Artikel asal: Free Malaysia Today

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version