Terbeli iPhone Palsu RM3,499 Dari Lazada

SUDAH menjadi kebiasaan buat pengguna memilih untuk membeli barangan secara atas talian kerana ia memudahkan dan harganya juga kadangkala harganya jauh lebih murah.

Melalui cara ini, pengguna hanya perlu membuat pesanan barangan dan kemudian melakukan pembayaran menerusi kaedah transaksi wang secara elektronik.

Tetapi hari tidak selalunya cerah, adakala pelanggan menerima barang yang tidak sama dengan apa yang diiklankan.

Terbaharu, seorang wanita di laman Facebook meluahkan rasa kesal apabila iPhone 8 Plus yang dibelinya melalui laman Lazada rupa-rupanya iPhone klon atau palsu.

Menurut Charlene Lau, dia membeli dan melakukan transaksi pembayaran sebanyak RM3,499 kepada laman jual beli popular itu pada 4 Jun lalu.

Bagaimanapun apabila dibuka sahaja kotak iPhone yang diterimanya, mangsa mendapati iPhone yang diterima itu bukan berwarna ‘silver’ seperti yang dipesannya, sebaliknya berwarna kuning emas.

“Sudah bertahun-tahun menjadi peminat setia dan menggunakan pelbagai model iPhone, saya rasa inilah peluang untuk memeriksa sama ada iPhone itu tulen atau palsu,” katanya.

Hasil pemeriksaannya mendapati, terdapat banyak perbezaan pada telefon berkenaan di mana sistem operasinya berbeza dengan iOS tulen.

“Bila saya periksa bahagian About Me, kapasiti yang dipaparkan ialah 256 GB, bukannya 64GB mengikut apa yang telah saya pesan sebelum ini.

“Tambahan, nombor siri, model, nombor IMEI di dalamnya juga tidak sama dengan yang dinyatakan pada kotak iPhone,” katanya.

Apabila Charlene cuba memuat naik kemaskini terkini bagi aplikasi WhatsApp, secara automatiknya paparan skrin dihalakan ke Google Play Store (Android), sedangkan ia sepatutnya membuka App Store.

Bukan sahaja iPhone 8 Plus itu palsu, malah Charlene mendakwa aksesori yang disertakan juga kelihatan lama dan palsu, selain mengetahui peranti itu rupa-rupanya model klon dari China.

Ekoran kejadian itu, Charlene membuat aduan kepada polis dan menghubungi perkhidmatan pelanggan agar barang atau wang pembayarannya dapat dikembalikan semula.

Terdahulu, Charlene mendedahkan ada pihak yang menghubunginya selepas mengetahui post Facebooknya itu viral di media sosial. Pihak berkenaan katanya, telah meminta dia menurunkan gambar dan status post Facebook itu.

“Mereka menghubungi dan menawarkan pilihan kepada saya sama ada mahu diganti dengan iPhone tulen atau wang dikembalikan dengan baucar tambahan RM100.

“Dalam masa yang sama, mereka menyedari posting saya di Facebook dan meminta saya memadam post tersebut selepas masalah ini diselesaikan,” katanya.

Difahamkan, pihak pengedar akan menghantar iPhone 8 64GB warna silver kepada Charlene sendiri dan dalam masa yang sama mengambil kembali iPhone palsu berkenaan untuk tujuan siasatan.

Tidak lama selepas itu, iPhone 8 Plus berwarna silver saiz 64GB itu telah dihantar dan Charlene mengesahkan di telah menerima peranti berkenaan.

Charlene memuji kepantasan pihak berkenaan menyelesaikan masalah tersebut. Meskipun begitu, Charlene menasihatkan orang ramai berhati-hati apabila berbelanja di talian bagi mengelakkan perkara seumpama itu berulang lagi. – MYNEWSHUB.CC

Published

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version