Shahrel Fikri Sah Sarung ‘Jersi Oren’ Nakhon Ratchasima FC

Penyerang berbakat besar negara, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi bakal menghadapi cabaran baru dalam karier bola sepaknya selepas beliau secara rasmi telah menandatangani kontrak bersama kelab Thailand, Nakhon Ratchasima FC.

Penyerang berusia 23 tahun itu telah ditawarkan kontrak selama lima bulan sebagai pemain pinjaman kelab yang beraksi dalam saingan Thai League T1.

Laman Facebook rasmi Nakhon Ratchasima FC juga telah memuatnaik pengumuman rasmi berkenaan penghijrahan yang bakal memberikan makna yang lebih besar buat Shahrel.

Seperti yang diperkatakan Shahrel sebelum ini, pemergiannya ke Thailand adalah bagi merasai pengalaman baharu serta mahu membuktikan kredibiliti yang dimilikinya untuk bersaing dengan pemain import yang lain.

Selepas melalui episod duka dalam kariernya akibat masalah kesihatan, Shahrel mendapat peluang kedua bagi membuktikan bisa sentuhannya.

Peluang tersebut menjelma selepas ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim menyenaraikannya dalam skuad Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) bagi menghadapi saingan Piala FAM pada tahun 2016.

Dengan prestasi yang semakin meningkat, Shahrel tidak menoleh ke belakang untuk terus meletakkan dirinya sebagai antara penyerang tempatan yang terbaik dalam saingan Liga Malaysia.

Pemergian Shahrel Fikri ini juga menjadikan beliau sebagai pemain ketiga dari Malaysia yang beraksi di negara jiran tersebut selepas dua pemain berdarah kacukan, Kiko Insa (Bangkok Glass) dan Curran Ferns (Sukhotai FC).

Kiko bagaimanapun hanya sempat beraksi dalam empat perlawanan dan kembali ke Malaysia untuk bersama Johor Darul Ta’zim.

Selepas menyinar bersama ‘jersi oren’ PKNP FC, kini Shahrel Fikri mengejar impian baharu bersama ‘jersi oren’ Nakhon Ratchasima FC.
Artikel Asal: Semuanyabola.com

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version