Selepas 5 hari menang Champions League, Zidane letak jawatan ketua jurulatih Real Madrid!

Hanya selepas lima hari selepas meraikan kemenangan ke atas Liverpool di Kiev, ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane meletak jawatannya, sebaik gergasi Sepanyol tersebut merangkul kejuaraan Champions League untuk tiga tahun berturut-turut.

Zidane yang merupakan lagenda kelab Real Madrid mengumumkan keputusannya dalam sidang akhbar bersama bersama presiden kelab itu, Florentino Pérez di Madrid pada pagi Khamis waktu tempatan, lapor media antarabangsa.

“Saya telah buat keputusan untuk tidak meneruskan (kontrak) ke musim berikutnya. Bagi saya dan untuk semua, saya fikir masa untuk perubahan telah sampai. Ia bukan keputusan yang mudah.

“Ini keputusan saya,” pemenang Piala Dunia itu dipetik The Guardian sebagai berkata.

Real Madrid menduduki tangga ketiga dalam La Liga, ketinggalan 17 mata di belakang juara Barcelona dan kalah dalam suku akhir piala tempatan kepada Leganés.

Bagaimanapun, Pérez dipetik The Guardian sebagai berkata terkejut dengan keputusan Zidane itu.

“Ini suatu keputusan yang sangat tidak dijangka, Zidane beritahu saya keputusannya semalam. Saya berterima kasih atas segala usahanya selama ini,” katanya.

Zidane menyertai kelab itu pada 2001 dari kelab Juventus.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version