PTPTN menangguhkan pembayaran balik kepada semua peminjam

Sumber : wanista.com

“Mengambil kira kesan wabak penyakit Covid-19 kepada ekonomi negara, yang mengakibatkan kehilangan dan kekurangan sumber pendapatan kepada peminjam PTPTN, kerajaan telah bersetuju supaya PTPTN menangguhkan pembayaran balik kepada semua peminjam. Penangguhan bayaran balik selama tiga bulan ini berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 Jun. Selaras dengan penangguhan itu, semua peminjam PTPTN juga akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan”.

Pengumuman ini dibuat Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad, dalam satu kenyataan.

Pada waktu yang sama, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengumumkan tawaran penangguhan pembayaran balik pinjaman sehingga enam bulan kepada semua peminjam di bawah tiga agensinya. Tiga agensi terbabit ialah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat dan SME Bank.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, moratorium itu diputuskan selepas mengambil kira kesan wabak COVID-19 kepada ekonomi negara.

“Ini adalah tindakan yang diambil untuk mempertahankan ekonomi kita serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga yang mungkin terjejas dengan penularan wabak ini. Penangguhan pembayaran balik pinjaman ini adalah membabitkan semua pihak termasuk individu, bukan hanya kepada PKS atau syarikat sahaja”.

“Kita mengharapkan selepas tempoh berkenaan, perniagaan yang terjejas boleh bermula semula dan mampu untuk membayar kembali hutang yang tertunggak selama enam bulan itu,” katanya.

Selain itu, Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) turut menawarkan penangguhan pembayaran semula pinjaman sehingga tempoh enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas berikutan penularan wabak koronavirus baru (COVID-19).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pihaknya turut menawarkan penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan menerusi langkah itu.

“Inisiatif yang diperkenalkan ini ditawarkan kepada pelanggan perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan yang terjejas akibat COVID-19″

Menurut beliau, pelanggan yang terjejas boleh menghubungi pihak Maybank bagi membincangkan penyelesaian dalam mengatasi sebarang cabaran kewangan yang dihadapi.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, kami akan mengambil kira kemungkinan untuk melanjutkan tempoh moratorium dan langkah inisiatif yang ditawarkan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kumpulan Maybank menerusi bahagian insuransnya, Etiqa akan menyediakan perlindungan hospital kepada pemegang polisi insurans hayat dan keluarga yang sakit akibat koronavirus.

“BSN komited untuk terus membantu para pelanggan kami terutamanya dalam saat-saat seperti ini. Atas dasar itu, kami menawarkan moratorium sehingga enam (6) bulan untuk bayaran ansuran bulanan ke atas semua pembiayaan pelanggan kami yang terjejas akibat pandemik ini,” kata Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN.
 
“Kepada pelanggan-pelanggan kami terutamanya yang diwajibkan bercuti tanpa gaji, mereka yang melakukan perjalanan harian untuk bekerja ke Singapura atau Thailand serta pelanggan-pelanggan mikro BSN yang terjejas agar menghubungi BSN bagi memohon penangguhan sementara pembayaran ini. Sebagai sebuah bank yang prihatin, BSN sentiasa memastikan keperluan pelanggannya diutamakan,” tambah beliau lagi.

Pelanggan BSN boleh menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1-300-88-1900 untuk keterangan lanjut.

Sumber : Astro Awani

Antara bank – bank lain yang menawarkan moratorium ialah :

  1. Affin Islamic Bank Berhad
  2. Agrobank
  3. Alliance Islamic Bank Berhad
  4. AmBank Islamic Berhad
  5. Bank Islam Malaysia Berhad
  6. Bank Muamalat Malaysia Berhad
  7. Bank Rakyat
  8. Bank Pembangunan Malaysia Berhad
  9. Bank Simpanan Nasional
  10. CIMB Islamic Bank Berhad
  11. Hong Leong Islamic Bank Berhad
  12. HSBC Amanah Malaysia Berhad
  13. Maybank Islamic Berhad
  14. MBSB Bank
  15. Public Islamic Bank Berhad
  16. OCBC Al Amin Bank Berhad
  17. RHB Islamic Bank Berhad
  18. SME Bank
  19. Standard Chartered Saadiq

Nota:
• AIBIM dan 19 Ahli telah membuat penyataan awam mengenai langkah / sokongan yang ditawarkan kepada pelanggan yang terlibat.
• Pelanggan disaran untuk menghubungi bank masing-masing untuk menyemak sokongan yang ada berkaitan dengan wabak Coronavirus.
• Senarai ini berdasarkan kenyataan yang diterbitkan oleh bank-bank individu seperti tarikh berita dikeluarkan.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version