PKP dilanjutkan sehingga 28 April 2020

Perutusan Khas Perdana Menteri pada 10 April 2020 mengenai perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata. “Setakat ini seramai 1830 pesakit telah keluar daripada hospital dan ini bermakna 43% pesakit covid-19 telah pulih. Harini sahaja, jumlah pesakit yang pulih seramai 220 orang melebihi jumlah kes positif baru sebanyak 118 kes.”

“Jumlah kes positif yang baru juga menunjukkan penurunan semenjak beberapa hari yang lalu. Jika trend penurunan ini berterusan untuk tempoh 2 minggu yang akan datang, insyaAllah kita akan dapat mengawal wabak COVID-19 ini daripada terus menular”. Tambahnya lagi

Tidak boleh ambil mudah situasi ini

Ujarnya, penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan. Malahan, usaha-usaha pencegahan ini mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rangkaian penularan jangkitan.

PKP dilanjutkan daripada 15 April 2020 sehingga 28 April 2020

Sehubungan itu, berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pakar-pakar perubatan, kerajaan hari ini memutuskan untuk melanjutkan perlaksanaan PKP untuk tempoh dua minggu lagi iaitu daripada 15 April sehingga 28 April 2020.

Perlanjutan tempoh ini dibuat untuk memberi ruang kepada petugas-petugas kesihatan memerangi penularan COVID-19 selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat kita.

Dan tindakan ini adalah selaras dengan pandangan WHO yang menyarankan negara-negara tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal dan seperti mana berlaku di beberapa buah negara penularan wabak ini meningkat semula apabila PKP ditamatkan. 

Kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini untuk tempoh yang lebih lama

“Apa yang saya nak sebutkan disini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ianya mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini di atasi 100 peratus”. – Tambahnya lagi

“Itupun kehidupan mungkin tidak boleh kembali seperti sedia kala selagi virus ini masih ada. Amalan penjarakkan sosial mesti diteruskan.

Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan mengadakan sebarang bentuk perhimpunan. Hindari tempat-tempat yang sesak. Bulan ramadhan yang akan menjelang tiba tidak lama lagi, kita tidak boleh ke bazaar ramadhan seperti sedia kala, kita tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi kita berterawihlah dirumah bersama keluarga sahaja.

Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa, walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini. tetapi inilah kenyataan yang kita kena hadapi. Saya juga baca komen-komen di Facebook, ramai ibu bapa yang mahukan cuti sekolah dilanjutkan lagi. Rata-rata bimbang tentang keselamatan anak mereka.” Ujarnya lagi

Sesi persekolahan ditangguhkan

Sekolah mungkin tidak akan dibuka lebih awal, kita mungkin akan tangguhkan dahulu sesi persekolahan sehingga kita benar-benar yakin bahawa keadaan telah kembali pulih.

Sementara itu, anak-anak kita perlu belajar dirumah, dan saya telah minta Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah ataupun Home-based Learning sepanjang tempoh PKP ini dan mungkin untuk tempoh yang seterusnya sehinggalah sekolah dibuka. 

Sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa saudara dan juga saudari. Setiap nyawa adalah berharga baik bayi, orang muda, orang dewasa ataupun warga emas. Semuanya bernilai. Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan beerti kehilangan pada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja tetapi juga satu kehilangan besar buat negara. 

Kerana itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri kita, keluarga kita dan orang-orang disekeliling kita dengan mematuhi PKP. – Tan Sri Muhyiddin Yassin

#StayAtHome #KitaJagaKita

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version