MASA DEPAN SISTEM PERUNCITAN: TRANSAKSI DALAM TALIAN?

Sistem perniagaan telah menerima perubahan secara mendadak sejak 30 tahun yang lalu. Populariti membeli-belah dalam talian meningkat dan statistik baru-baru ini menunjukkan bahawa aktiviti jual beli dalam talian di Malaysia turut mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus April lalu, ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan pergerakan (PKP), bermula Mac 2020.

Oleh itu, adakah kedai tradisional masih mempunyai tempat dalam bidang peruncitan? Bagaimana kita melihat sektor ini berubah dalam jangka masa 20 tahun akan datang?

Dengan kepantasan dan populariti membeli-belah dalam talian, kita dapat meramalkan bahawa kedai-kedai pada satu ketika akan hilang sama sekali, tetapi pernyataan menyeluruh ini mungkin tidak benar pada masa sekarang.

Sebagai pengguna, masih ada dorongan untuk keluar dan membeli-belah. Ya, mungkin ada pilihan yang lebih murah dalam talian, tetapi pengalaman dan aspek sosial membeli-belah menjadikannya sebahagian besar mengapa orang lebih gemar ke kedai fizikal berbanding kedai dalam talian. Penulis sendiri juga sering menggunakan khidmat peruncitan dalam talian untuk membeli keperluan harian serta barang basah seperti ayam, ikan, dan bermacam-macam lagi keperluan di rumah.

Kita mungkin tidak lebih suka membeli di kedai melainkan adanya promosi dan keperluan untuk melihatnya secara berhadapan, namun masih ramai pengguna yang memilih untuk melihat sendiri produk yang diinginkan ketika memilih apa yang hendak dibeli.

Namun, kedatangan wabak Covid-19 seakan mengubah landskap peruncitan di negara ini. Dengan kebanyakan kedai fizikal telah dan bakal gulung tikar, adalah tidak mustahil perniagaan dalam talian menjadi pilihan akhir bagi produk-produk di luar sana untuk kekal bertahan dan relevan. Meskipun kelonggaran telah diberikan untuk kedai-kedai ini terus beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masih ramai peniaga yang mengambil keputusan untuk menghentikan aktiviti perniagaan mereka akibat desakan kewangan dan tiada modal.

Kesan domino ini juga dapat dilihat dengan jelas apabila berakhirnya moratorium yang bakal berakhir pada penghujung bulan September 2020 ini. Menurut laporan FreeMalaysiaToday, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata Rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan 67,068 orang kehilangan pekerjaan sejak Januari hingga 31 Julai lalu. Jumlah ini dijangka bertambah dan memetik laporan daripada Utusan Malaysia Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) me­njangkakan kadar pengangguran akan terus meningkat mencecah 12 peratus daripada keseluruhan 15 juta tenaga kerja di negara ini.

Ditengah kemelut sumber pendapatan ini yang dijangka akan berterusan, ramai yang memilih untuk menawarkan perkhidmatan dan peruncitan dalam talian daripada terus dibelenggu masalah kewangan. Kuasa membeli masih wujud dan peniaga tidak melepaskan peluang untuk memenuhi kehendak daripada pengguna.

Dari Kiri: Munzir @ Munziroo Kitchen – Chef In Flight Catering kepada Usahawan Makanan & Puteri Siti Fatinnur @ Feenie.co – Jurugambar kepada ‘Tauke’ Bundle Online

Melakukan pembelian adalah rutin biasa dalam kehidupan seharian masyarakat pada masa kini dan peningkatan orang yang membeli-belah dalam talian setiap hari membentuk bagaimana konsep e-dagang boleh diperhalusi dan diperbaiki. Pengguna bukan sahaja mencari tawaran terbaik semasa pembeliaan dilakukan, malah barangan yang telah tersedia dan kos penghantaran juga merupakan faktor penting sekiranya kita mahu kekal relevan dalam era ‘Saya menginginkannya dan saya mahukannya sekarang’.

Media sosial adalah satu lagi ciri pembelian dalam talian. Pengaruh dan jangkauan iklan yang disasarkan pada platform seperti Facebook dan Instagram melonjakkan penerimaan untuk membeli-belah ke arah baru.

Review dan komen turut menjadi faktor penentu kerana banyak pembeli dalam talian akan dipengaruhi oleh cadangan media sosial bukan sahaja dari rakan tetapi juga orang yang tidak dikenali. Media sosial menjadi kayu ukur untuk peniaga terus melangkah ke masa depan dan media akan terus menjadi ciri penting dalam pertumbuhan e-dagang.

SELAMAT HARI MALAYSIA!

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version