Kedaulatan Sabah perlu dipertahan!

KUALA LUMPUR 26 Julai – Malaysia sama sekali tidak akan berkompromi terhadap isu tuntutan ke atas Sabah, malah komited mempertahankan kedaulatan negeri itu seperti mana yang telah termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tuntutan yang dibangkit oleh Ahli Jawatankuasa Perundingan Filipina, Aquilino Pimentel Jr itu dianggap tidak berasas dan sekadar pendirian peribadi oleh seorang ahli politik.

Beliau berkata, kenyataan dibuatnya bukanlah pendirian rasmi kerajaan Filipina dan perkara itu pastinya tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

“Hubungan Malaysia-Filipina semakin hari semakin baik dan positif. Jadi, kita tidak akan melayan tuntutan yang dibuatnya kerana soal kedaulatan Sabah dan Sarawak adalah hak Malaysia.

“Kita telah berjanji berkenaan perkara ini dan komited untuk terus bersama mempertahankannya…Sabah adalah Malaysia,” katanya ketika ditemui media selepas menerima lawatan rasmi Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II Brunei, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd. Yusof di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negara (IDFR) di sini hari ini. –

 

Kredit: UTUSAN ONLINE

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version