MIROS periksa lokasi kemalangan untuk lihat kemungkinanan kesilapan pemasangan besi penghadang

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menghantar pasukan khas ke lokasi kemalangan maut membabitkan empat beranak selepas kereta mereka terbabas dan terperosok besi penghadang jalan di Kilometer 161.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kemaman, Terengganu, jam 8.30 pagi, semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pasukan itu dihantar ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan terhadap besi penghadang jalan terbabit sama ada berlaku kesilapan pemasangan atau sebaliknya.

“Dalam kemalangan ini, terdapat banyak kemungkinan yang menyebabkan besi itu terkeluar termasuk berlaku kesilapan ketika pemasangan. Bagaimanapun, semua kemungkinan itu masih dalam siasatan.

“Ketika ini, kami masih menunggu kebenaran daripada polis untuk melakukan pemeriksaan di lokasi itu memandangkan pihak terbabit bertanggungjawab melakukan siasatan dalam kes kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa berkata, ciri-ciri keselamatan yang ada pada besi penghadang jalan memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan lebih buruk terhadap pengguna jalan raya yang terbabit dalam kemalangan.

Katanya, kebanyakan kes kemalangan maut bukan berpunca daripada besi penghadang jalan, sebaliknya faktor lain yang menyebabkan berlaku kemalangan.

“Besi penghadang jalan mempunyai peranan penting bagi mengelak kenderaan terbabas keluar dari laluan selepas terbabit dalam kemalangan yang boleh mengakibatkan kesan lebih buruk bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga pengguna jalan raya lain.

“Dalam kebanyakan kes, jika kelajuan kenderaan antara 100 ke 110 kilometer sejam (km/j), besi penghadang itu mampu mengelakkan kenderaan keluar dari laluan tanpa kerosakan teruk memandangkan ia mempunyai ciri penahan hentakan kuat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kemalangan maut membabitkan empat beranak selepas kereta mereka terbabas dan terperosok besi penghadang jalan di Kilometer 161.3 LPT itu.

Bagaimanapun, kata Rosli, nat skru besi penghadang jalan boleh tertanggal sekiranya kesan kemalangan terlalu kuat akibat kenderaan dibawa terlalu laju.

“Nat skru pada besi penghadang jalan akan tertanggal sekiranya impak kenderaan terbabas terlalu kuat sekali gus menyebabkan besi itu terkeluar atau tertanggal yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

“Bagaimanapun, besi penghadang jalan mempunyai peranan yang penting terhadap keselamatan pengguna jalan raya termasuk memberikan pantulan cahaya ketika waktu malam,” katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu tidak melebihi had laju terutama di laluan selekoh tajam untuk mengelakkan kemalangan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memandu dalam keadaan berhati-hati terutama ketika peralihan antara malam dan siang iaitu sekitar jam 5 hingga 6 pagi serta 7.30 malam memandangkan waktu itu keadaan gelap.

“Pada masa sama, keadaan trafik juga akan mula sesak berikutan orang ramai mula balik ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version