Landskap Komunikasi Negara Bakal Berubah Menuju Pasca Covid-19?

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 18 Mac 2020, sedikit sebanyak telah mengubah cara sebilangan besar rakyat Malaysia dalam menjalankan aktiviti seharian mereka termasuklah berkomunikasi.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam laporan Astro Awani, penting untuk rakyat Malaysia memiliki akses kepada perkhidmatan komunikasi yang meluas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dan SKMM telah bekerjasama rapat dengan pihak daripada sektor telekomunikasi sehinggalah pihak berkuasa bagi memastikan operasi komunikasi tidak terganggu sepanjang perintah dijalankan di seluruh negara.

Sektor telekomunikasi memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan PKP ini kerana ramai pelanggan kini perlu bekerja daripada rumah, termasuklah di lokasi-lokasi kritikal seperti klinik dan hopsital. Orang awam juga kebanyakannya bergantung kepada internet bagi menghilangkan kegusaran dan kebosanan mereka kerana ‘terpenjara’ dirumah dengan menjalankan aktiviti seharian menggunakan internet pada kadar yang optimum. Para pelajar IPTA mahupun IPTS juga perlu meneruskan pengajian mereka secara dalam talian dan ada sesetengah sekolah mahupun pra sekolah yang memberikan tugasan kepada pelajar melalui internet.

Sekiranya perkhidmatan ini tidak dipenuhi secara menyeluruh, maka ianya akan menyukarkan kebanyakan daripada kita untuk meneruskan hidup mahupun pekerjaan mereka. Aplikasi seperti Zoom, Skype menjadi pilihan syarikat-syarikat untuk berinteraksi secara maya mahupun menjalankan mesyuarat harian atau mingguan.

Bagi bidang penyiaran, siaran televisyen dan radio boleh diakses menerusi semua platform. Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut mengumumkan akan memperkenalkan slot Program TV Pendidikan menerusi saluran TV Okey iaitu salah satu saluran tv RTM. Ianya sebagai usaha tambahan kepada siaran Eduweb TV yang kini dilaksanakan Kementerian Pendidikan secara web streaming. Ini adalah langkah alternatif kepada pelajar yang tidak mendapat capaian internet mahupun tidak mempunyai peranti yang membolehkan mereka mengakses pelajaran mereka secara dalam talian.

Perniagaan dalam talian turut menerima tempias seperti Lazada dan Shopee serta lain-lain platform turut menjadi pilihan ramai di antara kita untuk mencuci mata serta membeli belah. Ini turut disokong dengan perkhidmatan kurier dan pos seperti PosMalaysia, Gdex, DHL dan lain-lain kerana menjadi tulang belakang utama perniagaan ini untuk berurusan terus dengan pelanggan.

Pemain gig ekonomi menjadi tunjang dan pemudah cara dalam memberikan khidmat terbaik kepada para pelanggan semasa musim PKP ini. Aplikasi seperti Grab, FoodPanda, Bungkusit, Lalamove dan bermacam-macam lagi aplikasi penghantaran barangan dan makanan, memudahkan rakyat Malaysia untuk terus mendapatkan makanan pilihan mereka mahupun barang runcit tanpa keluar daripada rumah.

Kredit Gambar: CNBC

Justeru itu, kerajaan menggesa rakyat Malaysia memanfaatkan pelbagai perkhidmatan secara dalam talian yang telah disediakan sepanjang tempoh PKP ini dan pada masa yang sama, sentiasa merujuk kepada sumber rasmi untuk mengetahui perkembangan berkaitan COVID-19. Majlis Keselamatan Negara (MKN) misalnya telah mewujudkan satu akaun Telegram khas sebagai usaha untuk membendung penyebaran berita tidak benar dan memastikan rakyat menerima sebarang berita daripada sumber yang sah!

Apa pula pendapat anda? Adakah rakyat Malaysia akan mengekalkan norma ketika pelaksaan PKP atau akan kembali kepada yang asal?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version