8 peranan proaktif isi rumah dan peniaga dalam membantu krisis ekonomi negara

Kredit foto: http://www.kuala-lumpur.ws/klareas/chinatown_petaling.htm

Wabak COVID-19 telah memberi impak besar kepada ekonomi negara. Namun kita sebagai rakyat Malaysia boleh membantu krisis ekonomi ini dengan memainkan peranan kita sebagai isi rumah dan peniaga menurut petikan dari Astro Awani.

Peranan Isi Rumah

1.Isi rumah perlu mengutamakan perbelanjaan ke atas barang keperluan sahaja selain komitmen bulanan yang wajib dikeluarkan. Rata-rata bebanan kewangan berpunca daripada perbelanjaan ke atas barang ‘kemahuan’. Adalah diharapkan agar pasca PKP mendidik isi rumah untuk berbelanja secara rasional.

2. Elakkan menjadi pembeli panik. Membeli belah secara biasa namun perlu mengutamakan barang keperluan sahaja. Jika kita menjadi pembeli panik, ini hanya akan mengeruhkan keadaan kerana apabila bekalan kurang, harga barang akan naik.

3. Ramai isi rumah yang terjejas akibat daripada pelaksanaan PKP. Sebilangan besar di berhentikan kerja dan sebilangan lagi terpaksa dipotong gaji. Bagi membantu kewangan isi rumah, penggunaan teknologi digital untuk berniaga atas talian adalah amat digalakkan.

Pelbagai jenis perniagaan boleh dilakukan, bergantung kepada kemahiran dan kreativiti anda untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi digital. Sebagai contoh, Isi rumah boleh berniaga menggunakan facebook dan instagram. Dalam masa yang sama menggunakan kemudahan yang disediakan oleh Grab dan Lalamove untuk menghantar barangan dan makanan kepada pembeli.

Peranan Peniaga

1.Mempraktikkan pekerjaan yang fleksibel seperti bekerja daripada rumah. Hal ini dapat mengurangkan kos sekaligus masih boleh mendapat keuntungan kepada perniagaan. 

2. Peniaga perlu menilai semula strategi pemasaran disamping menstruktur strategi penjualan yang baru. Amat digalakkan peniaga untuk menggunakan platform perniagaan seperti Shopee dan Lazada kerana ia telah menjadi norma membeli-belah yang baru sejak PKP dilaksanakan.

3. Elakkan memanipulasi harga barang dan memastikan bekalan sentiasa mencukupi. Peniaga perlu melaporkan data yang tepat agar perkara ini sentiasa terjamin.

4. Bagi mereka yang mendapat manfaat moratorium, elakkan mengambil kesempatan di atas kelebihan ini. Contohnya, pemilik rumah atau kedai sewa perlu menangguh sewa atau memberi kadar diskaun kepada penyewa agar kita mendapat manfaat bersama.

5. Kita sedia maklum bahawa dalam perniagaan, orang tengah atau pemborong sering menaikkan harga yang lebih tinggi berbanding apa yang di bayar kepada pengeluar. Dalam hal ini, pengeluar atau pengusaha boleh menghentikan masalah ini dengan menjual barangan terus kepada pengguna atau isi rumah melalui penjualan atas talian. 

Jika kita semua mempraktikkan peranan ini sebaik mungkin, ini bukan sahaja akan membantu kedua-dua belah pihak malah kita juga dapat membantu krisis ekonomi negara.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version