PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan mengumumkan penawaran khas kemasukan 1,000 pelajar Cina yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) ke Program Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kerajaan berpegang dengan pendirian bahawa sedaya upaya membantu semua pelajar yang layak dari segi akademik dan mempunyai keperluan untuk dibantu dari segi tahap sosioekonomi.

Menurutnya, pihaknya memberi ruang sebanyak 10 peratus untuk pelajar terlibat bagi tujuan mewujudkan persaingan sihat di samping memantapkan integrasi nasional dan perpaduan kaum.

“Bagi sesi 2018/2018 seramai 84,891 permohonan telah diterima termasuk 20,040 permohonan daripada bukan bumiputera manakala seramai 4,068 pelajar bukan bukan bumiputera telah ditawarkan tempat di kolej-kolej matrikulasi.

“Sejak tahun 1999, Program Matrikulasi KPM telah berjaya menghasilkan seramai 262,957 orang pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dan profesional,” katanya dalam Sidang Media Khas di Kementerian Pendidikan, Putrajaya hari ini.

Maszlee berkata, ia juga sebagai memenuhi keperluan pembelajaran pendidikan lepas menengah sesuai dengan pembelajaran abad ke 21 agar setanding dengan standard kualiti pendidikan pra universiti di peringkat antarabangsa.

Katanya, kementerian akan mengambil langkah untuk menyediakan peralatan sains dan kejuruteraan yang canggih dan terkini serta menaik taraf prasarana fizikal makmal dan bengkel.

“Pengiktirafan ini adalah menyokong strategi dan kaedah penyampaian pengajaran dan pembelajaran dunia sains dan kejuruteraan yang kompleks dan teoritikal secara lebih berkesan, praktikal, selamat serta pembelajaran kendiri yang menarik minat pelajar,” katanya.

Dalam program itu, Maszlee turut menyampaikan surat tawaran kepada tiga pelajar yang menerima tawaran ke program matrikulasi yang ditawarkan.

Kredit: Sinar Harian