Pertandingan yang dikenali sebagai XTERRA Malaysia Special Edition 2018 itu menampilkan dua kategori iaitu duathlon dan larian trail dengan majoriti atlet adalah dalam kalangan usia 25 hingga 45 tahun.

Bagi kategori duathlon ia membabitkan tiga acara iaitu larian 5 kilometer (km), berbasikal 30km dan larian sejauh 5km manakala larian trail pula melibatkan larian 5km, 11km dan 21km.

“Acara ini sebenarnya kita sudah adakan di Putrajaya, kemudian selepas tiga tahun kita bergerak ke Langkawi dan seterusnya kita anjurkan di Desaru Coast dengan penganjuran Special Edition.

“Sebelum ini kita adakan disiplin renang tetapi tahun ini sebab mahu bangunkan lokasi yang baharu, jadi kita tidak memasukkan renang dan menggantikan Special Edition dengan acara Duathlon (berbasikal dan larian), jadi fokus boleh diberikan untuk persediaan acara lebih besar tahun depan.

“Fokus kita di Desaru bukan saja untuk membawa peserta antarabangsa, tetapi juga menarik minat rakyat untuk lebih aktif dalam sukan ekstrem,” kata Pengarah Urusan Tough Gorilla, Azura Zainol Abidin, ketika ditemui pemberita pada pelancaran acara berkenaan di sini, hari ini.

Sementara itu, Azura berkata pihaknya meletakkan sasaran untuk mencapai penyertaan sebanyak 1,500 peserta sebelum tarikh tutup pada 23 September ini.

Tambahnya, buat masa ini kira-kira 600 peserta sudah mendaftar dalam semua kategori yang dipertandingkan.

Dalam pada itu, Pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan penyertaan atlet terkemuka dunia kerana acara itu sebenarnya adalah triathlon, namun disebabkan acara itu merupakan Special Edition yang menyaksikan disiplin renang tidak dipertandingkan.

Azura berkata, lima peserta terbaik bakal menerima hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan ditawarkan sebanyak RM30,000.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang XTERRA Malaysia Special Edition 2018 atau Desaru Coast selain Facebook Desaru Coast Malaysia.

XTERRA Malaysia Special Edition 2018 disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia Major Events, Tourism Johor, Majlis Sukan Johor dan Desaru Coast selaku penaja utama.- UTUSAN ONLINE