Pada Selasa lepas, pemburuan kejuaraan kedua Piala AFF tampak sukar buat skuad Harimau Malaya selepas hanya seri 2-2 dengan Vietnam pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sepanjang perlawanan ini, Malaysia sukar untuk memecahkan blok pertahanan Vietnam yang dibentuk secara 5-4-1. Vietnam bermain dalam sistem pertahanan yang sangat disiplin dengan covering dan menutup ruang. Malaysia mengenakan tekanan awal ke kubu pertahanan Vietnam dengan harapan dapat mengambil kesempatan ketika fasa pasukan Vietnam sedang mencari rentak. Namun secara permainan terbuka Malaysia sukar untuk memecahkannya.
Skuad Harimau Malaya mendapat suntikan semangat dalam menghadapi Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018, setelah dua tonggak pertahanan, Aidil Zafuan dan Syazwan Andik kembali pulih daripada kecederaan untuk turun beraksi di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.
Menurut laporan Utusan , pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe mengakui kehadiran semula dua pemain berkenaan selain kembalinya pertahanan kanan, Syahmi Safari daripada penggantungan satu perlawanan, nyata memberi kelegaan kepadanya untuk aksi genting di Hanoi nanti dengan harapan tiga pemain pertahanan ini, sedikit sebanyak membantu di barisan pertahanan.
Pada masa yang sama, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan akan berlakunya perubahan formasi terutamanya di bahagian pertahanan selepas kubu skuad negara mudah dibolosi pada aksi sebelum ini, namun mengakui ia bergantung kepada keadaan pada hari perlawanan berkenaan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut serta ke Hanoi, mengakui kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang seimbang untuk muncul juara buat kali kedua, dengan Vietnam muncul juara pada 2008, manakala Malaysia pada 2010.
Benar, Malaysia berhadapan dengan kesukaran untuk memecahkan pertahanan Vietnam. Namun, apa yang positif dalam skuad Harimau Malaya dalam temasya kali ini adalah respon apabila mereka ketinggalan. Pasukan ini memiliki mentaliti untuk cuba berusaha sedaya upaya menjaringkan gol dalam apa jua cara.
Kita masih ada harapan di Vietnam. Malaysia Boleh! Harimau Malaya Boleh!